Monday, September 3, 2012
Penjelasan Sebalik Dakwaan Dipukul
Tulisan ini agak panjang. Saya berharap rakan-rakan pembaca blog ini
dapat membaca perlahan-lahan dari atas ke bawah mengikut turutan tanpa
meninggalkan satu perenggan pun supaya anda jelas dengan apa yang saya
ingin sampaikan.
Apabila disebut perkataan seni ramai diantara kita akan ingat kepada
hasil kerja tangan. Seperti seni lukis, seni hiasan, seni pertukangan,
seni masakan dan juga beberapa seni lain. Perkataan seni juga
mengingatkan kita kepada dunia hiburan.
Tidak ramai diantara kita yang ingat atau sedar bahawa politik juga ada
seni yang tersendiri. Persepsi, muslihat, propaganda dan tipu helah
antara elemen yang ada dalam seni politik. Tidak kira parti mana dan
dinegara mana setiap parti ada cara tersendiri dan tertentu untuk
mempengaruhi rakyat atau mengubah pendirian serta pemikiran rakyat agar
menyokong parti mereka.
Di Malaysia, parti pemerintah negara lebih kepada memilih pendekatan
menjelaskan kepada rakyat apa kerja dan sumbangan dan jasa-jasa yang
mereka lakukan dalam usaha membangunkan negara dan menolong rakyat.
Pendekatan cara itu pun perlu, tetapi ianya tidak cukup kuat.
Dalam politik setakat orang ramai suka atau sayang kepada kita tidak
cukup untuk kita mendapat sokongan atau kemenangan. Kita perlu buat agar
orang ramai suka dan sayang kepada kita, dalam masa yang sama mereka
marah dan benci kepada pihak musuh. Itu pun belum cukup lagi. Elemen
simpati juga diperlukan. Apabila elemen suka dan sayang bercampur dengan
marah serta kebencian dan dicampur lagi dengan elemen simpati, ianya
akan menghasilkan satu keputusan yang memuaskan.
Di Malaysia ketiga-tiga elemen itu digunakan sebaik mungkin oleh
pembangkang. Kekalahan yang sederhana teruk BN pada PRU 1999 juga
disebabkan oleh tiga elemen tersebut.
Sebagai seorang pemimpin yang pernah berada dalam kerajaan dan mempunyai
jawatan serta kuasa yang besar sudah tentulah Anwar ada
penyokong-penyokongnya yang tersendiri yang telah termakan budinya atau
menyukainya kerana penampilannya serta tutur katanya yang menarik. Dan
orang-orang ini semuanya ada perasaan suka dan sayang kepadanya. Itu
pasal Anwar naik dengan cepat dalam Umno sehingga tinggal satu tahap
lagi untuk menjadi orang nombor satu negara.
Apabila Anwar dipecat maka sudah tentulah penyokong-penyokongnya marah
kepada Tun M dan juga kepada Umno. Anwar mengambil peluang tersebut
untuk memburuk-burukkan Tun M serta Umno dan menyemai perasaan benci
kepada pengikut-pengikutnya terhadap Tun M serta Umno .
Perlu diingat pengikut Anwar bukannya kecil. Beliau seorang TPM dan
Timbalan Presiden Umno sudah pastilah mempunyai pengikut yang ramai.
Pengikut yang ramai tersebut pula menjadi ejen untuk menyemaikan
perasaan benci kepada orang ramai melalui pelbagai pendekatan,
termasuklah ceramah-ceramah.
Sebaik sahaja Anwar ditangkap dan ditahan dibawah ISA sebelum ditahan
dipenjara, Wan Azizah dan keluarganya pula memainkan peranan agar orang
ramai terus membenci Tun M dan Umno. Wan Azizah dan keluarganya juga
banyak bermain dengan sentimen kesedihan untuk menagih simpati orang
ramai.
Dengan penuh sedih dan sayu Wan Azizah duduk bersusun dengan
anak-anaknya menceritakan bagaimana Anwar ditangkap. Kononnya polis
datang tendang pintu rumah mereka bagaikan hendak menangkap penjenayah
besar. Dibawa dalam van bersama Azizah kemudian dipisahkan dalam
perjalanan dengan Anwar dibawa menaiki kenderaan lain dan matanya
ditutup. Dia ikut ke Bukit Aman dan dihalau balik serta tidak dibenarkan
bertemu Anwar. Apa yang Azizah lakukan, dengan lakonan sedihnya itu
membuatkan orang ramai menitiskan air mata yang akhirnya telah
mengundang simpati kepadanya.
Tidak cukup dengan itu, selang sehari dua selepas Anwar ditangkap Wan
Azizah berkata pula kononnya Anwar disuntik dengan kuman HIV oleh pihak
polis. Kemarahan orang ramai dan kebencian mereka kepada Tun M, Umno dan
polis makin meningkat. Manakala simpati kepada Wan Azizah terus
bertambah.
Tidak lama selepas itu, tup...tup....muncul Anwar buat kali pertama di
depan orang ramai selepas ditahan dengan matanya yang lebam di Mahkamah
Petaling Jaya.
Apa lagi ???
Segala kemarahan dan kebencian orang ramai terhadap Umno dan BN serta
simpati kepada Wan Azizah dan keluarga diterjemahkan diatas kertas undi
pada PRU ke 10 pada tahun 1999. BN mengalami kekalahan yang agak boleh
tahan, tetapi tidaklah sampai hilang 2/3.
Tun M mengambil tanggungjawab atas keputusan PRU yang tidak berapa
memihak kepada BN itu. Beliau berjaya membetulkan tanggapan dan persepsi
masyarakat terhadap Umno dan kerajaan serta melawan apa sahaja isu yang
dimainkan pembangkang. Selepas beberapa tahun Tun M berjaya.
Penyokong-penyokong Umno atau BN kembali berani memakai baju Umno/BN
atau menampal pelekat kereta. Setelah kepercayaan rakyat berjaya
dipulihkan Tun melepaskan jawatan dan menyerahkannya kepada Pak Lah.
Akhirnya keputusan PRU ke 11 pada tahun 2004 menyaksikan BN menang
dengan selesa.
Sokongan besar rakyat berjaya diperolehi BN pada PRU 2004. Malangnya BN
tidak menggunakan peluang tersebut untuk mengekalkan atau menambahkan
lagi sokongan rakyat kepada mereka. BN buat perkara-perkara yang tidak
disukai oleh rakyat. Keputusan-keputusan yang tidak logik, kenaikan
harga petrol, janji tidak naikkan harga eletrik, kemudian dinaikkan dan
perkara-perkara lain yang menyusahkan rakyat. Walaupun tewas dibeberapa
kerusi dalam pilihanraya negeri Sarawak sebelum itu (2006) kerajaan
seolah-olah tidak mempedulikan isyarat yang diberikan. Kerajaan terus
dengan keputusan-keputusan atau tindak tanduk yang tidak popular dimata
rakyat.
Seperti biasa, pembangkang hanya menunggu peluang untuk menyemaikan
perasaan benci orang ramai terhadap kerajaan yang memerintah. Kebetulan
Anwar berada di luar penjara dan dia memang pakar dalam hal untuk
menyemaikan sentimen kebencian. Umno dan BN berjaya dibencikan dari
segenap sudut. Dari kenaikan harga barang, amalkan rasuah hinggalah
kepada perkara yang remeh temeh. Ditambah pula dengan cerita-cerita
Anwar bagaimana dia 'dizalimi', ditangkap dan dipenjara. Akhirnya
kita semua dapat saksikan bagaimana keputusan PRU ke 12 pada tahun
2008. Oleh yang demikian janganlah beranggapan sentimen orang suka atau
orang kasih sayang kepada kita boleh menjamin kemenangan. Sentimen
kebencian kepada musuh dan simpati juga diperlukan untuk memastikan
kemenangan.
Seorang bekas pembantu peribadi Anwar Ibrahim, saudara Rahimi Osman,
orang yang dipertanggungjawab untuk menjaga jadual kempen pilihanraya
atau road show Anwar untuk PRU 2008, pengiraan yang beliau lakukan
selepas keputusan pilihanraya mendapati 80 peratus kerusi yang Anwar
turun padang dimenangi pembangkang termasuklah yang ditandingi Pas dan
DAP.
Itu kehebatan seni politik Anwar Ibrahim yang kita semua kena akui.
Hebatnya Anwar sampaikan video yang disahkan oleh pakar 99.9 peratus
tulen pun beliau boleh pusingkan cerita itu fitnah yang dibuat oleh
musuh. Lebih syok lagi apabila Dewan Ulama Pas adakan satu usul khas
dalam muktamar mereka untuk mempertahankan Anwar Ibrahim dalam isu video
tersebut. Itu ulama, orang yang alim, yang hafal quran dan sebagainya,
pun Anwar boleh butakan hati mereka, apatah lagi kita yang bukan ulama.
Saya bersyukur walaupun ilmu agama saya tidaklah sehebat ulama tetapi
hati saya tidak buta untuk menyokong Anwar Ibrahim.
Menjelang PRU 13 akan datang, ramai orang berkata pilihanraya itu adalah
ibu kepada segala pilihanraya. Pembangkang hanya perlukan selangkah
lagi untuk lompat naik keatas. Manakala BN hanya ada selangkah sahaja
lagi untuk jatuh ke bawah. Samada BN akan jatuh atau pembangkang yang
berjaya lompat kita pun tak tahu.
Dalam pilihanraya undi ahli Umno, ahli Pas, ahli PKR atau ahli mana-mana
parti tidak cukup untuk mencatatkan kemenangan. Undi golongan yang
tidak berparti atau pun dipanggil golongan atas pagar yang menentukan
menang kalah satu-satu parti. Dan golongan yang tidak berparti atau
tidak berpolitik ini kebiasannya mereka tidak ambil peduli
perkara-perkara politik melainkan ada isu besar atau isu kontrovesi yang
membuatkan orang ramai bercakap dan menarik perhatian mereka untuk
tahu. Satu lagi isu yang selalu orang bercakap. Apabila selalu orang
bercakap lama kelamaan mereka juga akan tahu.
Apabila Datuk Najib menjadi PM ramai orang bercakap beliau anak Tun
Razak dan kebanyakan orang tua-tua tahu Tun Razak seorang yang baik. Di
kampung-kampung orang bercakap tentang Najib orang bagus dan dari
keturunan orang baik-baik. Sokongan orang ramai kepada Umno mula
meningkat selepas Datuk Najib ambil alih negara. Apabila menyedari
perkara itu mereka tukar strategi pula dengan menyerang dan menimbulkan
kebencian orang ramai terhadap isteri PM. Macam-macam cerita yang mereka
cipta untuk menimbulkan kebencian orang terhadap isteri PM. Nama Rosmah
dah jadi perkataan wajib atas pentas ceramah mereka. Apabila
diulang-ulang bertahun-tahun , lama kelamaan akan jadi bualan orang
termasuklah golongan yang tidak ambil tahu pasal politik.
Berbalik kepada isu kontrovesi yang boleh menarik perhatian orang ramai
termasuklah golongan tidak berparti atau berpolitik. Kontrovesi boleh
wujud dengan pelbagai cara samada gembira atau sedih.
Seperti yang saya katakan diatas, apabila Anwar ditangkap Wan Azizah menceritakan bagaimana 'kezaliman'
polis menangkap Anwar. Kemudian Wan Azizah dakwa Anwar disuntik kuman
HIV. Tidak cukup dengan itu, Wan Azizah kata lagi Anwar diberi racun
arsenik hinggakan kalau genggam rambutnya maka rambutnya itu akan gugur.
Semuanya itu melahirkan simpati orang ramai kepada mereka sekeluarga.
Terbukti apa yang dituduh oleh Wan Azizah itu tidak benar. Jika benar sudah lama Anwar mati atau terlantar sakit.
Menjelang PRU 13 yang akan menentukan samada Anwar akan sampai ke
Putrajaya atau tidak, taktik-taktik diatas digunakan dengan begitu
agresif oleh Anwar dan PKR untuk menarik perhatian orang ramai yang
tidak ambil tahu pasal politik agar memberikan sokongan kepada mereka.
Dengan nada sedih dan gaya lakonan tersendiri diatas pentas ceramah
Anwar menceritakan bagaimana dia dan keluarga difitnah dan diaibkan oleh
Umno melalui tuduhan liwat dan aksi bersama pelacur untuk memalukan
dia.
"Saya dan keluarga telah lama difitnah, diaibkan oleh Umno, tapi kami sabar dengan ujian ini". Kalau ada Wan Azizah bersama di pentas ceramah dia akan kata pula " tapi nasib baiklah saya ini ada isteri seperti Azizah yang tabah dan selalu pesan agar saya bersabar", dan Wan Azizah pula akan pamerkan senyuman macam kerang busuk untuk tagih simpati.
Kemudian muncul pula cerita-cerita kononnya ada cubaan untuk mengancam
nyawanya seperti kenderaannya cuba disabotaj dengan merosakkan bahagian
brek. Di sini
Pengawal peribadi Wan Azizah disuntik racun. Dikatakan cuba menyasarkan
suntikan kepada Wan Azizah tetapi tersalah suntik pengawal peribadinya.
Bodohnya tukang suntik. Lelaki dengan perempuan pun tertukar ke ? Lihat
di sini...
Tempohari dikatakan berlaku di Johor kereta Anwar dibaling telur dan
dirosakkan. Bukannya saya tidak pernah mengikuti ceramah Anwar Ibrahim.
Setiap kali Anwar turun padang untuk berceramah dia akan diiringi oleh
pengawal-pengawal yang terdiri pencacai-pencacainya. Ada rakan saya
memanggil mereka-mereka ini UTK Pekak. Ini kerana lagak dan gaya mereka
mengalahkan UTK Polis. Punyalah ramai UTK Pekak mengelilingi Anwar dan
ramainya penyokong PKR di tempat ceramah, tak mungkin mereka tidak dapat
menangkap orang yang cuba mengkhianati Anwar ?
Terbaru yang berlaku di Kota Bharu dua hari lepas. Bas PKR disimbah cat merah dan dipecahkan cermin.
PKR melabur wang yang banyak untuk mendapatkan bas tersebut bagi
mengadakan siri jelajah mereka. Pelaburan yang besar tidak akan berbaloi
jika hasil tidak memuaskan. PKR mahu semua orang bercakap dan tahu
tentang kewujudan bas itu. Mereka mesti memastikan setiap siri jelajah
yang menggunakan bas tersebut akan dipenuhi puluhan ribu orang. Mereka
mahu idea kreatif mereka itu menarik perhatian dan menjadi bualan orang
ramai dengan harapan akan diterjemahkan diatas kertas undi kelak.
Untuk menjadi perhatian dan perbualan orang ramai ianya memerlukan
kontrovesi. Dan untuk mencetuskan kontrovesi agar menjadi perhatian
ramai maka berlakulah kejadian bas disimbah cat dan dipecahkan cermin.
Setahu saya PKR amat berhati-hati dalam soal keselamatan. Jika ada
sidang media yang dilakukan di pejabat mereka setiap wakil media atau
orang awam yang ingin mengikuti sidang media tersebut akan diteliti satu
persatu. Jika ada individu-individu yang meragukan mereka tidak
benarkan masuk.
Dalam soal bas itu, mestilah PKR akan memasang pengawal untuk menjaganya
atas faktor keselamatan. Tetapi semasa kejadian tidak ada pengawal yang
menjaganya. Kemana hilangya semua UTK Pekak mereka ? Kenapa mereka
tidak jaga bas ?
Apabila berlaku kejadian tersebut ianya mula menjadi perhatian orang
ramai dan orang mula bercakap mengenainya. Akhirnya kontrovesi berjaya
dicipta dan bas itu mula menjadi perhatian.
Sinar Harian 3.Sept.2012 |
Seperti biasa musuh politik mereka dipersalahkan dan simpati akan datang
kepada mereka termasuklah dari golongan yang tidak berparti. Dan dalam
masa yang sama mereka berjaya wujudkan kebencian terhadap musuh politik
mereka.
Secara logiknya mari kita berfikir
Perlukah musuh politik melakukan begitu kerana dengan lakukan begitu
masyarakat akan membenci mereka dan sokongan kepada PKR akan meningkat ?
Jika musuh yang melakukannya, mengapa mereka hanya baling cat dan
pecahkan cermin sahaja ? Kerosakkan yang boleh diperbaiki dengan kos
yang tidak terlalu mahal. Bukankah baik jika mereka bakar sahaja bas
tersebut ?
Musuh tidak perlu sayang untuk bakar bas tersebut kerana itu bukan harta
mereka. Orang yang tak bakar maknanya dia sayang bas tersebut. Siapa
lagi yang menyayangi bas tersebut jika bukan pemilik dan
sekutu-sekutunya ?
Selain dari isu bas timbul juga cerita kononnya bilik hotel penginapan Anwar juga cuba diceroboh. Lihat di sini.
Seperti biasa juga seperti kejadian yang lepas-lepas, Umno juga yang
menjadi mangsa untuk dipersalahkan oleh penyokong-penyokong mereka.
Dalam masa satu hari dua kejadian di Kota Bharu sudah boleh menimbulkan
simpati dan seterusnya meningkatkan sokongan orang ramai kepada mereka,
dan orang ramai membenci Umno. Itulah sebahagian dari seni politik.
Simpati dan benci adalah perkara yang paling mudah untuk kita dapat jika
kita pandai. Apabila kita berjaya mewujudkan simpati terhadap kita dan
mewujudkan benci terhadap musuh maka kita akan mendapat sokongan.
Saya tidak bercakap kosong. Saya ada melakukan eksperimen terhadap
perkara ini. Dan tujuan saya lakukan eksperimen untuk memberi contoh dan
membuktikan kepada anda.
Sebelum saya jelaskan apa yang berlaku terlebih dahulu saya memohon maaf
banyak-banyak kepada semua rakan-rakan pembaca dan rakan-rakan saya.
Untuk lakukan perkara ini saya memikirkannya hampir 30 jam. Setelah
hampir 30 jam pun masih belum dapat keputusan lagi. Saya perlu berfikir
panjang kerana ianya melibatkan kepercayaan orang ramai terhadap saya.
Perasaan takut terhadap rakan-rakan pembaca menyelubungi diri saya.
Walaupun hubungan saya dengan anda sekadar antara seorang penulis blog
dengan pembacanya dan tidak melibatkan apa-apa bayaran tetapi perasaan
hormat serta takut kepada anda semua tetap ada.
Pendapat dan nasihat yang diberikan kawan-kawan bercampur-campur. Ada
yang setuju dan ada yang tidak setuju. Itu yang membuatkan saya berfikir
panjang.
Setelah timbul cerita bas PKR disimbah cat merah dan dipecahkan cermin
serta bilik hotel Anwar cuba diceroboh , saya dan Papa Gomo serta House
PK dan beberapa rakan lain berbincang dan kami sudah menjangka Umno akan
menjadi mangsa untuk disalahkan.
Perbincangan sesama kami melalui BBM group sudah boleh mengagak dua
kejadian yang berlaku di Kota Bharu adalah sebahagian dari seni politik.
Kami memikirkan bagaimana untuk menyampaikan mesej yang jelas kepada
rakyat tentang perkara itu. Sampai bila kita nak biarkan Umno yang
menjadi kambing hitam ?
Satu cadangan dikemukakan tetapi tidak semua yang setuju agar cadangan
diadakan satu ekspirimen bagi meyampaikan mesej yang jelas kepada orang
ramai.
Disaat saya masih lagi berfikir samada setuju atau tidak untuk melakukan
eksperimen tersebut, tanpa saya ketahui tiba-tiba sahaja meletup cerita
melalui mesej broadcast blackberry kononnya saya dipukul empat lelaki
di Puchong. Saya sendiri pun agak terkejut.
Telefon saya dihujani panggilan dan sms bertalu-talu. Ada yang saya
jawab dan ada yang tidak. Tiba-tiba sakit kepala dan pening. Sebab saya
masih belum bersedia. Saya mengambil keputusan untuk tidak lagi
menjawab panggilan telefon dan sms. Begitu juga dengan BBM dan twitter.
Ramai yang menghubungi untuk melahirkan rasa simpati. Ada yang tawarkan
wang perubatan, dan ada yang tawarkan untuk mencari orang yang memukul
saya.
Akhirnya saya mengambil keputusan untuk meneruskan eksperimen kerana
benda telah pun berlaku dan saya sedia menerima akibatnya. Itulah yang
buat tulisan ini petang semalam.
Seingat saya dua hari sebelum itu saya memeriksa pengikut twitter saya
@rbf_online sebanyak 769 pengikut. Tetapi selepas tersebar berita saya
dipukul tak sampai 1 jam saya lihat pengikut saya telah mencecah kepada
800. Dan sehingga jam 5.00 petang tadi pengikut saya meningkat kepada
833.
Maknanya berlaku pertambahan yang mendadak. Jika sebelum ini pengikut
saya bertambah hanya 1 atau 2 sehari dan ada harinya tidak bertambah,
tetapi semalam bertambah dengan mendadak sedangkan saya tidak melakukan
apa-apa tweet semalam. Jika sebelum ini orang yang mengikuti mungkin
boleh dikatakan pembaca blog ini , para kenalan, ahli keluarga atau
orang yang ambil tahu pasal rbf online sahaja. Tetapi selepas berita
saya dipukul orang yang selama ini yang tidak pernah ambil tahu atau
ambil pusing pasal rbf online tiba-tiba sahaja mereka ambil berat dan
ambil tahu serta menyokong saya dengan mengikuti twitter saya. Sebabnya
mereka simpati kepada saya.
Sekiranya saya seorang penulis blog yang tidaklah berapa hebat boleh
meningkatkan sokongan dan berjaya meraih simpati, apatah lagi seorang
pemimpin besar seperti Anwar dan sebuah parti seperti PKR yang mempunyai
dana yang besar. Sudah tentu ada pelbagai cara dan strategi yang boleh
mereka lakukan untuk meningkatkan sokongan dan mendapat simpati rakyat.
Melalui eksperimen ini kita dapat mesej jelas, sekiranya anda berjaya
mendapat simpati maka sokongan kepada anda semakin meningkat. Bodohlah
sekiranya Umno yang rosakkan bas PKR kerana ianya akan meningkatkan
sokongan orang ramai kepada PKR.
Jadi jangan terkejut sekiranya selepas ini muncul pula cerita kononnya
rumah Anwar cuba dibakar, pejabat PKR dibaling bom atau sebagainya. Anda
kena faham itu adalah sebahagian dari seni politik untuk menagih
sokongan orang ramai.
Akhir kalam saya mohon maaf dari hujung kaki sampai hujung rambut jika
eksperimen yang dijalankan telah menyusahkan anda. Saya sedar dan saya
tahu bahawa saya terpaksa membayar eksperimen ini dengan harga yang
mahal kerana ianya melibatkan kepercayaan orang ramai terhadap saya.
Tetapi tak mengapalah, saya redha jika kerana tujuan ini saya hilang
kepercayaan anda. Inilah perjuangan.....ianya memerlukan pengorbanan.
Semoga anda semua memaafkan saya.
Dipetik daripada tulisan RBF ( dengan izin )
Dipetik daripada tulisan RBF ( dengan izin )
No comments:
Post a Comment