BELANJAWAN
pakatan pembangkang yang digelar Bajet Alternatif sudah diumumkan lebih
awal daripada Bajet 2013 yang dibentangkan oleh Perdana Menteri, Datuk
Seri Najib Tun Razak hari ini.
Skrip serupa
digunakan tahun lalu dan dijangka disambung dengan dialog menuduh bajet
kerajaan meniru bajet pembangkang yang lebih banyak menjanjikan
'gula-gula' daripada mengumpul 'gula' itu sendiri.
Mengimbas
kembali, apa yang dijanjikan untuk 2013 seperti bantuan RM1,000 setahun
kepada warga emas, bantuan kebajikan RM550 sebulan, gaji minimum
RM1,100, elaun pendidik sebanyak RM500 dan banyak lagi sebenarnya
salinan fotostat daripada bajet bayangan 2012 juga.
Mungkin dapat
dilupakan seketika apa yang dibentangkan itu dengan poket kosong, umpama
orang yang cuma window shopping, mereka tetap menabur janji-janji baru
melalui bajet bayangan 2013 tanpa segan silu, sedangkan janji dan
manifesto sebelum pilihan raya umum (PRU) 2008 masih banyak belum
ditunaikan.
Lebih menarik,
individu yang mengumumkan bajet bayangan untuk lebih 28 juta rakyat itu
juga adalah Penasihat Ekonomi Selangor tetapi bajet yang setanding tidak
pula dibentang dan dilaksanakan terlebih dahulu untuk lima juta rakyat
negeri tersebut selepas lebih empat tahun memerintah.
Dengan bajet
poket kosong 2013, mereka janji dan terus berjanji untuk membina jalan
raya di Sabah sedangkan di negeri sendiri masih menunggu, mahu turunkan
cukai kenderaan 20 peratus tetapi cukai pintu masih tergantung, serta
pendidikan percuma dan hapuskan pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan
Tinggi Nasional (PTPTN), sesuatu yang masih dinanti-nantikan pelajar
negeri yang diperintah pakatan pembangkang.
Bagaimana pula
janji-janji mereka di Kelantan, Kedah dan Pulau Pinang mahupun Perak
ketika mereka memegang kuasa dahulu? Mungkin kerana itu tema Hari
Merdeka tahun ini begitu sensitif kepada sesetengah pihak.
Bantuan bagi
pendidikan prasekolah, anak yang dihantar ke nurseri, menurunkan cukai
pintu dan cukai premis perniagaan serta elaun ibu tunggal juga masih
dinanti-nantikan.
Tidak cukup
dengan itu, janji-janji 'berat' juga semakin bertambah seperti penurunan
harga kereta, pemansuhan tol dan pemansuhan pinjaman PTPTN sedia ada,
kononnya semua itu mampu ditampung kerajaan pembangkang, cukup dengan
menghapuskan rasuah dan mengawal ketirisan sahaja.
Ini belum
mengambil kira rancangan 'kurang cerdik' seperti mengurangkan bilangan
kakitangan awam, terowong dasar laut Pulau Pinang, menurunkan harga
minyak dalam 24 jam selepas menang PRU, meroboh tembok penjara jika
pemimpin mereka dipenjarakan mahupun ada yang mengangkat komunis sebagai
hero, menukar Jalur Gemilang dan sebagainya.
Yang nyata,
setiap bajet bayangan yang menjanjikan bulan, bintang dan roket itu
gagal mendedahkan sumber kewangan yang jelas mahupun kaedah menjana
pendapatan serta menarik pelaburan bagi menjamin semua yang dikatakan
mampu dipenuhi.
Bagi rakyat
biasa tentu sekali apa yang digula-gulakan itu sangat menarik, untuk
lima saat, tetapi akal yang waras dan rasional tentu melihat banyak
lompang dalam perancangan yang tidak berdiri atas realiti dan kemampuan
sebenar pembangkang menunaikan janji mahupun kemampuan negara ini
menampung bajet boros mereka itu kelak.
Bagi Pensyarah
Kanan Fakulti Ekonomi dan Muamalat, Universiti Sains Islam Malaysia
(USIM), Mohamad Noorizzuddin Nooh, apa yang cuba dilakukan pembangkang
sukar difahami kerana ia umpama bajet bunuh diri.
"Tidak masuk akal, itu yang mampu saya katakan. Selama ini saya bayangkan pembangkang di negara kita lebih bijak.
"Mereka seperti
tidak berfikir, tiada rancangan sokongan dan tidak gantikan hasil yang
hilang. Asas akaun pun tidak lulus kalau tidak boleh imbang antara tolak
dan tambah," tegasnya.
Menurut beliau,
bajet pembangkang itu juga tidak menceritakan bagaimana untuk
menggantikan hasil hilang yang digunakan untuk menampung semua rancangan
mereka menghapuskan kos perbelanjaan tertentu.
Walaupun bajet
bayangan pembangkang itu dikatakan ada pelan mencari hasil, beliau tetap
merasakan ia tidak mampu menampung apa yang cuba dilakukan mengikut
moto Negara Berkebajikan mereka.
"Mereka
nampaknya mengambil contoh elemen tertentu dari beberapa negara maju
lain yang mempunyai sistem kebajikan sosial tetapi negara terbabit juga
hanya mengamalkan sesetengah aspek yang disebutkan bajet pembangkang
itu.
"Tiada satu
kerajaan pun mampu melaksanakan kesemua elemen yang pembangkang sebut
dalam bajet itu secara serentak seperti menghapuskan tol, pendidikan
percuma dan sebagainya, jika tidak negara itu boleh lumpuh," jelasnya.
Katanya lagi,
bajet bayangan sepatutnya sesuatu yang realistik dan boleh dilaksanakan
secara serentak dalam tempoh satu ke dua tahun dan bukannya yang tidak
masuk akal mahupun diganti dengan alasan tunaikan satu demi satu dahulu
selepas mendapati janji itu sukar ditunaikan.
Profesor
Ekonomi, Fakulti Ekonomi, Kewangan dan Perbankan, Universiti Utara
Malaysia (UUM), Profesor Datuk Amir Baharuddin pula berpendapat, bajet
yang dibentang pembangkang itu umpama ditambah secara main-main
sedangkan bajet bayangan terdahulu sudah banyak kepincangannya.
"Bajet eutopia
ini macam main-main ditambah. Asas pun tak ada, hendak dapatkan
pertumbuhan yang tinggi pula. Janji yang bukan-bukan, budak tingkatan
enam pun boleh hasilkan bajet sebegini!
"Kalau nak
lebih mudah, ambil bajet tahun lepas dan tukar nombor-nombor sahaja. Ini
bukan caranya. Untuk hasilkan bajet perlu sekurang-kurangnya sembilan
bulan kerja, berbincang dengan ramai pihak sebelum kumpul semuanya dalam
satu belanjawan," tegasnya.
Beliau turut
menempelak janji kononnya dengan menghapus atau mengurangkan cukai
mereka masih boleh menguruskan sebuah kerajaan kerana ia jelas menipu
rakyat dan itu belum melibatkan pembayaran hutang negara.
Tambahnya,
untuk susutkan hutang negara juga mengambil masa bertahun-tahun dan
bukannya dalam satu belanjawan sahaja, jika tidak bajet kerajaan untuk
tahun itu hanya untuk membayar pinjaman semata-mata.
Beliau
memaklumkan pertumbuhan 4.5 peratus juga kini sukar dicapai melihatkan
situasi global tetapi sasaran bajet pembangkang umpama satu usaha
simplistik untuk mengelirukan rakyat.
"Dia
(pembangkang) boleh janji apa saja tapi pelaksanaannya tentu 'sakit'.
Perubahan kekal di bawah kuasa Perlembagaan dan Parlimen, mereka tidak
boleh buat apa pun yang dibentangkan selagi tidak memegang kuasa.
"Mereka perlu
ubah Perlembagaan untuk buat semua yang dijanjikan itu dan ini akan
memerlukan sokongan majoriti dua pertiga. Jika tidak, mereka terpaksa
akur juga kepada sistem sedia ada," jelasnya.
Beliau juga
kesal dengan taktik pembangkang sekali lagi membentang satu bajet dengan
poket kosong seperti tahun lepas, lebih-lebih lagi diumumkan lebih awal
daripada bajet kerajaan.
Tambahnya,
tindakan itu umpama satu bentuk hasutan yang mengganggu perjalanan
proses kerajaan dipilih majoriti rakyat dan menyusahkan kerja Perdana
Menteri.
Amir
menegaskan, pembangkang sepatutnya menyokong apa yang ada kini dan ubah
apa yang mereka mahu jika sudah berkuasa, agar apa yang mereka lakukan
itu tidak dibalas setimpal kelak.
"Kalau dia
perintah dan orang buat begitu, dia suka? Ini cara kebudak-budakan
berjanji itu dan ini. Rakyat bukan sahaja kena fikirkan kenapa mereka
bentang bajet bayangan malahan kenapa melangkaui pembentangan Perdana
Menteri.
"Kalau
agendanya baik dan betul, mereka tak bentang sekarang, patut tak bentang
langsung sebaliknya akan bantu stabilkan negara," ujarnya.
Menurut beliau,
secara individu memang pembangkang banyak duit tapi untuk perbelanjaan
negara tentu mereka akan menggunakan hasil daripada cukai dan memerah
keringat rakyat.
Tambahnya, jika
pembangkang pamkan duit sendiri ke dalam tabung negara mahupun meminjam
dengan orang kaya seperti George Soros sekalipun belum tentu ia akan
mencukupi.
"Orang kaya
seperti Soros pun tiada cita-cita nak biayai negara lain. Mungkin derma
main-main beberapa juta sana sini tetapi payah untuk orang sepertinya
beri pinjaman berbilion ringgit kepada negara seperti Malaysia.
"Oleh itu,
rakyat perlulah berwaspada dengan perkembangan ini kerana orang yang
cetak wang palsu pun sudah ramai, yang janji palsu lagi banyak,"
tegasnya. --UM
No comments:
Post a Comment