AIDCNews – 06/09/12 – bekas Perdana Menteri Malaysia yang
pertama, Tunku Abdul Rahman Putra Al Haj berkata provokasi elemen
komunis yang melampau antara faktor tercetusnya peristiwa hitam negara,
13 Mei 1969.
Tunku Abdul Rahman berkata demikian
ketika menulis buku bertajuk “Sebelum dan Selepas 13 Mei”, terbitan
Utusan Melayu Sdn. Bhd. Kuala Lumpur.
Menurutnya
anasir komunis telah menanam sentimen kebencian dan provokasi melampau
ketika menjelangnya pilihanraya tahun tersebut.
“Bila
kempen Pilehanraya itu telah sa-paroh berjalan, mereka telah
melancharkan kempen2 menulis dengan chat merah chogan2 kata dan tanda2
di-atas jalan2 raya dan tembok2 – merah ia-lah warna pertubohan Komunis.
“Chogan2
kata ini menggesa tiap2 orang supaya memulaukan Pilehanraya dan yang
lain mengandongi perkataan2 yang menyanjong tinggi sifat2 dan ajaran2
Mao Tze Tung. Mereka tidak peduli bahawa perbuatan mereka itu melanggar
Undang2, dan amat-lah sukar bagi Kerajaan hendak menangkap mana-mana
orang yang menulis chogan2 kata itu kerana chogan2 kata itu di-tulis
pada malam yang gelap gelita tetapi tulisan-nya dapat di-bacha dengan
jelas oleh semua orang di-siang hari yang terang benderang”.
Sentimen kebencian melampau itu menurut Tunku mendorong berlakunya pembunuhan.
“Kesempatan
itu timbul bila satu peristiwa telah berlaku pada 24hb April, ia-itu
kira2 dua minggu sa-belum daripada Hari Mengundi. Pada kira2 jam 8.30
malam itu sa-orang pekerja UMNO bernama Enche’ Kassim Omar yang sedang
dalam perjalanan pulang ka-rumah-nya telah melihat beberapa orang
berkumpul di-kawasan Jelutong, Pulau Pinang. Dia telah memberhentikan
motosikal yang sedang di-naiki-nya untok melihat dan bertanya kerana
pada fikiran-nya satu kemalangan telah berlaku.
“Ketika
itu juga dia telah di-serang oleh kumpulan orang yang ada di-situ dan
telah di-bunoh dengan kejam-nya. Sa-telah itu mereka menchontengkan
chat merah ka-seluroh badan mayat orang yang telah mereka bunoh itu.
Perbuatan mereka adalah satu pembunohan yang di-sengaja, dan boleh
berlaku ka-atas sa-siapa jua pun. Pembunoh2-nya ia-lah Parti Buroh”.
Namun
pembunuhan Kassim Omar itu tidak disambut dengan sentimen provokasi
oleh masyarakat Melayu, berbanding dengan pembunuhan seorang lelaki
Cina bernama Lim Soon Seng.
“Si-mati bukan-lah
sa-orang yang terkenal dan pada lazim-nya mayat-nya itu memadai-lah
di-kebumikan dengan sa-chara sederhana, tetapi Komunis tidak hendak
melepaskan peluang yang bagitu baik untok membuat sa-suatu yang boleh
mendatangkan faedah kapada perjuangan mereka. Akhir-nya mereka dapat
juga sa-orang dari rakan sa-perjuangan untok di-sanjong sa-bagai
“Pahlawan” yang akan menjadi lambang perjuangan mereka”
Tunku
juga turut mendedahkan penglibatan Syed Hamid Ali (adik kepada Syed
Husin Ali, bekas Presiden PRM), Yang Dipertua Persatuan Mahasiswa
Universiti Malaya antara tiga individu yang datang berjumpanya untuk
memohon kebenaran diadakan perarakan mayat ‘pahlawan’ itu.
Impikasi perarakan mayat itu berlakunya peristiwa 13 Mei.
Tarnskrip lengkap tulisan Tunku Abdul Rahman “Sebelum dan Selepas 13 Mei” dalam bab, ” Upacara pengebumian Pahlawan Merah” :
UPACHARA PENGKEBUMIAN “PAHLAWAN” MERAH
Ketika
sidang perwakilan sedang memberi fikiran mereka dengan bersunggoh2
di-dalam Persidangan Antara Bangsa yang begitu penting, kempen
Pilehanraya telah berjalan dengan hebat-nya di-seluroh Malaysia Barat.
Dalam
kempen itu timbul-lah perkara2 yang menyakitkan hati, yang boleh
menimbulkan permusohan dan pergadohan antara satu sama lain. Saya telah
pun memberi beberapa chontoh tentang apa yang telah berlaku dan
tentang bagaimana hasutan2 dan fitnah2 telah di-jalan dengan chara
berterang2 dan umpat keji yang terlalu bersifat peribadi telah
di-bisekan2 dari mulut ka-mulut.
Memang telah menjadi
kelaziman di-mana2 jua dalam dunia bebas ini perkataan2 yang pedas dan
kenyataan2 yang tidak bijak di-keluarkan dalam kempen2 Pilehanraya.
Amalan2 yang sa-rupa itu juga tentu-lah di-jangka berlaku di-Malaysia
ini, tetapi kebebasan beruchap di-dalam Pilehanraya2 itu tidak-lah
sa-kali2 boleh di-jadikan alasan untuk mengeluarkan kata2 yang
melanggar batas, terutama sa-kali di-dalam sa-buah Negara yang
berbilang kaum di-mana perasaan pendudok2-nya mudah tersinggong dalam
perkara2 mengenai kaum mereka.
Perasaan hangat ini
jelas kelihatan terutama-nya sa-kali di-sabelah Utara Malaysia Barat;
di-sabelah Selatan kempen Pilehanraya telah berjalan dengan chara yang
lembut dan terator dengan tidak berlaku sa-barang kejadian yang tidak
di-ingini.
Di-dalam suasana yang saperti ini-lah
Komunis telah meresap masok di-kalangan mereka itu. Tujuan utama mereka
sa-makin jelas kelihatan dari sa-hari ka-sahari. Mereka berazam hendak
menjatohkan Perikatan dari memegang kuasa dengan memechahkan
pengaroh-nya sama ada dengan chara baik atau pun jahat.
Mereka
mengamalkan pengaroh jahat menerusi dua saloran dan menghalakan
serangan2 mereka kapada dua sasaran besar – melemahkan UMNO melalui
PAS, dan melumpohkan MCA menerusi Gerakan dan parti2 politik China yang
lain.
Pada pendapat mereka Pilehanraya telah
memberikan kesempatan yang sangat baik kapada Komunis China untok
melakukan perbuatan2 provokasi supaya timbul peristiwa2 sama ada besar
atau pun kechil, dengan tujuan hendak menjayakan ranchangan mereka
memulaukan Pilehanraya Kebangsaan ini. Lebeh luas mereka dapat
menyebarkan perasaan bimbang, atau kechewa, atau pun takut, maka lebeh
besar-lah harapan mereka untok menjayakan pemulauan itu.
Bila
kempen Pilehanraya itu telah sa-paroh berjalan, mereka telah
melancharkan kempen2 menulis dengan chat merah chogan2 kata dan tanda2
di-atas jalan2 raya dan tembok2 – merah ia-lah warna pertubohan Komunis.
Chogan2
kata ini menggesa tiap2 orang supaya memulaukan Pilehanraya dan yang
lain mengandongi perkataan2 yang menyanjong tinggi sifat2 dan ajaran2
Mao Tze Tung. Mereka tidak peduli bahawa perbuatan mereka itu melanggar
Undang2, dan amat-lah sukar bagi Kerajaan hendak menangkap mana-mana
orang yang menulis chogan2 kata itu kerana chogan2 kata itu di-tulis
pada malam yang gelap gelita tetapi tulisan-nya dapat di-bacha dengan
jelas oleh semua orang di-siang hari yang terang benderang.
Mereka
memperhebatkan kempen mereka itu dengan menggunakan anchaman terhadap
keselamatan orang ramai, dan menyebarkan risalah2 di-kalangan orang2
China untok menggesa mereka supaya memulaukan Pilehanraya. Tujuan
mereka jelas untok menunggu berlaku-nya sa-suatu peristiwa yang boleh
mereka gunakan untok mengambil kesempatan bagi menjayakan ranchangan
mereka itu.
Kesempatan
itu timbul bila satu peristiwa telah berlaku pada 24hb April, ia-itu
kira2 dua minggu sa-belum daripada Hari Mengundi. Pada kira2 jam 8.30
malam itu sa-orang pekerja UMNO bernama Enche’ Kassim Omar yang sedang
dalam perjalanan pulang ka-rumah-nya telah melihat beberapa orang
berkumpul di-kawasan Jelutong, Pulau Pinang.
Dia
telah memberhentikan motosikal yang sedang di-naiki-nya untok melihat
dan bertanya kerana pada fikiran-nya satu kemalangan telah berlaku.
Ketika
itu juga dia telah di-serang oleh kumpulan orang yang ada di-situ dan
telah di-bunoh dengan kejam-nya. Sa-telah itu mereka menchontengkan
chat merah ka-seluroh badan mayat orang yang telah mereka bunoh itu.
Perbuatan
mereka adalah satu pembunohan yang di-sengaja, dan boleh berlaku
ka-atas sa-siapa jua pun. Pembunoh2-nya ia-lah Parti Buroh.
Pembunohan
yang kejam ini tentu-lah telah menimbulkan rasa chemas di-kalangan
Pasokan2 Keselamatan kerana kejadian itu boleh di-jadikan sebab
terchetus-nya rusohan kaum. Oleh kerana bimbang berlaku-nya tindak
balas, maka Kerajaan telah meminta keluarga si-mati dan pemimpin2
Melayu di-Pulau Pinang supaya bersabar, dan mereka telah bersetuju
tidak menyebarkan berita pembunohan itu supaya Komunis tidak akan
mendapat kesempatan untok menghalang Pilehanraya.
Kesabaran
mereka itu telah memberi pertolongan yang sangat besar untok menyekat
buat sementara waktu chita2 Komunis; tetapi mereka telah
bertanggong-jawab mengalirkan darah ka-atas bumi.
Sa-puloh
hari kemudian, ia-itu pada 4hb Mei, Komunis telah mendapat peluang
yang sa-lama ini di-tunggu2-nya bila satu kejadian berlaku di-Negeri
Selangor; kejadian ini berlaku enam hari sa-belum hari membuang undi.
Pada
pagi2 hari itu, tiga orang mata2 yang sedang meronda telah bertembong
dengan sa-kumpulan pemuda2 di-Kepong, yang terletak di-pinggir bandar
Kuala Lumpur. Pemuda2 itu sedang menulis dengan chat tanda2 di-atas
jalan raya. Bila di-chabar oleh mata2, mereka telah menentang mata2 itu
dengan membalingkan kayu api, besi2 tajam, dan ketol2 besi, dan
kemudian mereka telah berundor masuk ka-kawasan sa-buah pasar lama yang
berdekatan.
Sa-lepas dari mengenalkan diri mereka,
ketiga orang mata2 itu pun menghambat pemuda2 tersebut. Rupa-nya mereka
keluar bersiap sedia untok menghadapi sa-barang kemungkinan dan memang
hendak menchari gadoh, dan sekarang mereka telah dapat apa yang mereka
mahu.
Mereka telah melawan bersunggoh2 hingga mata2
itu terpaksa melepaskan tembakan untok mempertahankan diri. Akhir-nya
sa-orang dari pengachau2 itu telah terchedera, dan kemudian-nya mati
di-Rumahsakit Umum kerana lukanya itu. Nama-nya ia-lah Lim Soon Seng,
berumor dua puloh empat tahun. Keluarga dan rakan2-nya telah membawa
mayat si-mati itu untok di-simpan di-Rumah Mayat di-Jalan Sultan, jalan
yang sa-habis sebok di-bandar China Kuala Lumpur; mayat itu
sa-patut-nya di-bawa balek ka-rumah-nya sendiri di-Kepong.
Si-mati
bukan-lah sa-orang yang terkenal dan pada lazim-nya mayat-nya itu
memadai-lah di-kebumikan dengan sa-chara sederhana, tetapi Komunis
tidak hendak melepaskan peluang yang bagitu baik untok membuat sa-suatu
yang boleh mendatangkan faedah kapada perjuangan mereka. Akhir-nya
mereka dapat juga sa-orang dari rakan sa-perjuangan untok di-sanjong
sa-bagai “Pahlawan” yang akan menjadi lambang perjuangan mereka.
Polis telah menerima permohonan untok mengadakan satu perarakan mayat pada 10hb Mei, ia-itu Hari Mengundi.
Tujuan
mereka hendak mengadakan perarakan itu pada 10hb Mei sangat-lah jelas.
Anasir2 yang menganjorkan perarakan itu berniat hendak menimbulkan
satu kejadian yang akan menghalangkan Pilehanraya atau pun menchegah
pembuangan undi pada hari itu.
Polis telah mengambil
keputusan yang bijak dengan menolak permohonan hendak mengadakan
perarakan pada hari itu, tetapi sa-telah ibu bapa si-mati dan pemimpin2
Parti Buroh Kepong bertalu2 membuat rayuan hendak mengadakan istiadat
pengkebumian sa-chara terhormat, maka Polis telah bersetuju membenarkan
perarakan mayat itu di-adakan pada 9hb Mei.
Tatkala
membenarkan-nya, Polis telah meletakkan sharat2 yang ketat supaya
perarakan itu melalui jalan2 yang tertentu, dan mereka yang hadzir atau
mengiringi mayat itu hendak-lah di-hadkan kapada satu bilangan kechil
mereka yang berkabong. Rengkas-nya istiadat pengkebumian itu hendak-lah
di-adakan menurut sa-bagaimana yang lazim di-buat sahaja.
Meski
pun bagitu, apa yang berlaku ia-lah perarakan mayat itu telah bertukar
menjadi satu perarakan yang terbesar sa-kali pernah di-lihat di-bandar
Kuala Lumpur. Dalam hal ini Komunis-lah yang bertanggong-jawab. Ia-nya
tidak sa-kali2 merupakan satu perarakan mayat, tetapi lebeh merupakan
satu tunjuk perasaan politik Komunis yang sa-habis2 liar.
Gambar2
yang saya siarkan dalam buku ini dapat mencheritakan sendiri peristiwa
itu dan dapat membuktikan bahawa Komunis dan anasir2 jahat lain
ada-lah bertanggong-jawab di-atas kejadian yang burok itu. Tunjok
perasaan itu berjalan pada seluroh hari itu, sa-telah perarakan itu
berjalan sa-jauh lapan batu dengan beribu2 orang mengambil bahagian
di-dalam-nya atau menyaksikan-nya dari kaki lima atau pun di-tepi2
jalan.
Untok mengetahui dengan sah hal2 yang telah
berlaku, saya kemudian-nya telah meminta supaya di-rakamkan kenyataan2
dari Pegawai2 Kanan Polis yang ada hubongan-nya dengan perarakan mayat
itu atau pun yang menjaga hal2 kawalan dan keamanan sa-masa tunjok
perasaan yang besar itu berlaku akibah dari perarakan itu.
Saya
siarkan kenyataan2 itu di-sini supaya orang ramai di-Malaysia ini
dapat mengetahui-nya dengan sa-jelas2-nya, sa-lain dari apa yang telah
tersiar dan di-bacha dalam akhbar2, mengenai segala hal yang telah
terjadi dan siapa yang berdiri di-belakang perarakan itu hingga
menimbulkan berbagai2 rupa perbuatan provokasi (yang boleh menimbulkan
kemarahan) sa-hari sa-belum dari Hari Mengundi.
Enche’ Abu Bakar bin Abdul Aziz, Pegawai Penjaga Daerah Polis Kuala Lumpur, telah menyatakan :-
“Pada
7hb Mei, 1969, bapa si-mati (Lim) telah di-panggil berjumpa saya untok
menyiapkan peratoran2 bagi perarakan mayat anak-nya. Sa-lepas dari
berjumpa dengan saya, dia telah bersetuju mengadakan perarakan mayat
itu pada hari Juma’at, 9hb Mei, 1969. Sunggoh pun bagitu dia mengaku
kapada saya yang dia tidak bertanggong-jawab di-atas segala persiapan2
bagi perarakan itu, dan dia akan bawa kemudian kelak orang2 yang
bertanggong-jawab membuat persiapan2 itu untok berjumpa saya.
“Kemudian
bapa si-mati sa-kali lagi datang di-temani oleh sa-orang lain bernama
Yap Kau untok berunding dengan saya mengenai jalan2 yang akan di-lalui
oleh perarakan itu. Rundingan itu tidak mengambil keputusan kerana Yap
Kau berkata yang dia tidak mempunyai kuasa untok membuat keputusan.
“Keesokan-nya,
8hb Mei, 1969, Yap Kau, Miss Tan Siew Eng dan sa-orang Melayu telah
datang ka-pejabat saya, tetapi bapa si-mati tidak bersama. Mereka
berkata yang mereka telah menentukan sendiri jalan2-nya dengan
menunjokkan kepada saya di-atas sa-keping kertas. Kemudian saya
berhubong dengan Enche’ Mansor, Pegawai Penjaga Lalulintas, yang
kemudian-nya telah datang ka-pejabat saya. Sa-telah itu kami telah
membinchangkan bersama2 jalan2 yang akan di-lalui itu. jalan2 itu ia-lah
sa-bagaimana yang telah di-terangkan oleh Enche’ Mansor dalam
kenyataan-nya.
“Yap Kau telah memperkenalkan Miss Tan
kapada saya sa-bagai salah sa-orang dari ahli2 yang mengatorkan
perarakan mayat itu, dan kemudian-nya memperkenalkan Syed Hamid
sa-bagai sa-orang ahli Jawatankuasa Penyelenggara yang menjaga hal2
mayat bagi perarakan itu. Kemudian saya telah memperkenalkan Enche’
Mansor kapada tiga orang itu.
“Kedua2 orang China itu,
ia-itu Yap Kau dan Miss Tan, telah bercakap kapada kami dalam bahasa
Melayu dan mereka faham bahasa itu. Syed Hamid telah hadzir bersama.
Apakala saya tanya Syed Hamid kenapa dia datang, dia berkata dia datang
untok memperhatikan supaya tidak akan timbul silap faham di-atas apa
yang telah di-persetujukan, dan juga kerana dia salah sa-orang dari
ahli2 jawatankuasa yang bertanggong-jawab untok menguruskan perarakan
mayat itu.
“Sa-belum Syed Hamid meninggalkan pejabat
saya, dia telah berkata “sekarang kita telah bersetuju.” Tujuan-nya
berkata demikian ia-lah supaya kami tidak boleh lagi mengubah jalan2
yang telah pun di-persetujukan di-antara kita semua.
“Miss
Tan juga berkata ia-itu untok mengelakkan dari menyakitkan hati mereka
yang mengambil bahagian dalam perarakan itu, lebeh baik Polis tidak
menghantar orang2-nya yang memakai uniform menjaga perarakan itu,
lebeh2 lagi anggota Pasokan Simpanan (F.R.U). Dia berkata bahawa dengan
ada-nya anggota2 Polis yang beruniform dari Pasokan Simpanan, maka
orang2 yang akan mengambil bahagian dalam perarakan akan merasa sakit
hati kerana si-mati yang telah di-tembak Polis itu telah di-anggap oleh
mereka sa-bagai sa-orang “Pahlawan”. Mereka minta supaya lesen itu
di-keluarkan atas nama Yap Kau.”
Yap Kau yang tersebut
dalam kenyataan Enche’ Abu Bakar itu ia-lah sa-orang ahli Jawatankuasa
Parti Buroh Chawangan Kepong. Miss Tan Siew Eng ia-lah Naib Pengerusi
bagi chawangan itu. Orang Melayu yang mengenalkan diri-nya sa-bagai
Syed Hamid ia-lah Syed Hamid bin Syed Ali yang menjadi Yang di-Pertua
Persatuan Penuntut2 Universiti Malaya.
Anggota2
F.R.U ia-lah Pasokan Simpanan Persekutuan, ia-itu anggota2 pasokan
Polis yang mendapat latehan yang tinggi mutu-nya, terutama sa-kali
dalam kerja2 menyuraikan tunjok2 perasaan dan rusohan2.
Dari
kenyataan itu dan dengan ada-nya tiga orang tersebut tadi, maka
nyata-lah bahawa perarakan mayat itu telah di-ambil aleh dari keluarga
si-mati oleh anasir2 politik yang mempunyai tujuan2 yang jahat supaya
peluang itu dapat di-pergunakan untok membangkitkan anchaman politik
yang berpanjangan.
Sa-benar-nya perkara membawa mayat
ini hanya-lah satu perkara yang mudah dan kechil sahaja, tetapi mereka
sengaja membesar2kan-nya.
Enche’ Mansor bin Mohd. Noor, Pegawai Penjaga Lalulintas, Polis Daerah Kuala Lumpur juga telah membuat satu kenyataan :-
“Pada
jam 9.55 pagi, hari Khamis, 8hb. Mei, 1969, saya telah berada
di-pejabat O.C.P.D untok berunding dengan-nya mengenai jalan2 yang akan
di-lalui oleh perarakan mayat Lim Soon Seng. Pada jam 10.05 pagi, tiga
orang telah datang ka-Pejabat O.C.P.D itu – mereka ia-lah Yap Kau, Tan
Siew Eng (sa-orang perempuan China) Naib Pengerusi Parti Buroh
Selangor, dan sa-orang Melayu, Syed Hamid bin Syed Ali.
“Ketiga2
orang ini telah datang ka-pejabat dan memohon kebenaran mengadakan
perarakan mayat Lim Soon Seng. Mereka menuntut supaya perarakan itu
melalui jalan2 yang telah di-tetapkan oleh mereka, tetapi O.C.P.D dan
saya tidak bersetuju dengan jalan2 yang di-chadangkan oleh mereka.
“Saya
berkeras supaya jalan2 yang patut di-lalui ia-lah daripada Jalan
Sultan terus ka-Jalan Petaling, Jalan Kuching, Jalan Maxwell, Jalan
Ipoh, kemudian terus ka-Kepong. Sa-balek-nya mereka menuntut jalan2
yang lain sa-bagaimana berikut :- Jalan Petaling, Jalan Kinabalu, Jalan
Raja, Jalan Tuanku Abdul Rahman, Jalan Ipoh.
“Ini
bererti-lah perarakan itu akan melalui jalan2 di-tengah2 kota. Mereka
berkeras hendak melalui jalan2 ini, sambil berkata bahawa sama ada
Polis bersetuju atau pun tidak, mereka akan melalui juga jalan2 itu.
Oleh
yang demikian saya terpaksa bersetuju dengan sharat bilangan orang2
yang akan mengikut dalam perarakan itu tidak-lah boleh lebeh dari
sa-ribu. Kemudian O.C.P.D telah mengeluarkan lesen.”
Dari
kenyataan-nya itu dapat-lah kita saksikan bahawa jalan2 yang
di-chadangkan oleh Polis akan membawa perarakan itu melalui jalan2 yang
kebanyakan-nya bersempadan dengan sa-panjang2 sungai, ia-itu jalan2
besar yang tidak melalui kawasan yang penoh dengan bangunan2.
Sementara
jalan2 yang di-chadangkan oleh pehak yang menguruskan perarakan itu
ia-lah jalan2 dari Utara ka-Selatan yang melalui tengah2 kota, yang
penoh dengan kedai2 perniagaan. Jalan2 ini pada lazim-nya penoh sesak
dengan orang ramai di-sapanjang siang hari dan sampai-lah ka-tengah
malam.
Keadaan pada ketika itu meletakkan pehak Polis
berada dalam kedudokan yang terdesak, kerana keesokan hari-nya ia-lah
Hari Mengundi. Untok kepentingan Negara, maka mustahak-lah di-ambil
segala langkah yang perlu bagi menghindarkan dari berlaku-nya sa-suatu
perkara yang boleh menghalang Pilehanraya.
Sa-bagai
pehak yang bertanggong-jawab untok menjaga undang2 dan keamanan, pehak
Polis tidak bertujuan hendak membuka sa-barang peluang kapada pehak2
yang liar untok melakukan kekachauan.
Keluarga si-mati
mempunyai hak untok membawa mayat, dan mengikut sa-bagaimana biasa,
kena-lah mereka mendapatkan kebenaran dari Polis bagi mengadakan satu
perarakan. Ini-lah chara hidup kita di-Malaysia, dan boleh di-katakan
hampir pada sa-tiap hari kita dapat melihat perarakan yang sa-umpama
itu berjalan di-Kuala Lumpur.
Polis
tidak dapat membantah langkah menyerah persiapan2 mengadakan perarakan
mayat itu kapada Parti Buroh Chawangan Kepong dan juga kapada anasir2
yang lain yang tidak ada kait-mengait dengan keluarga si-mati, tetapi
pehak Polis sa-benar-nya faham dan mengerti tujuan pehak2 yang
menganjorkan perarakan itu.
Oleh yang demikian
tentu-lah pehak Polis perlu bersiap sedia untok menjalankan kewajipan
mereka yang biasa dan berjaga2 untok menghadapi sa-barang tunjok
perasaan yang mungkin timbul dari perarakan itu, tetapi mereka juga
mesti berhati2 supaya kekachauan yang mungkin timbul itu tidak akan
berlanjutan di-sapanjang hari itu.
Mereka cuma
dapat meletakkan sharat2 yang tertentu untok perarakan itu, dan ini
telah di-persetujukan di-antara kedua2 belah pehak dan juga pehak
keluarga si-mati. Bagaimana persetujuan itu akan di-amalkan tidak-lah
dapat di-agakkan sa-hingga keesokan hari-nya.
Di-dalam satu kenyataan yang terchatit, Enche’ Mansor bin Mohd. Noor telah melaporkan sa-bagaimana berikut :-
“Pada
jam 8.45 pagi, 9hb. Mei, 1969, saya telah pergi ka-Rumah Mayat (Chik
Sin Tong) di-Jalan Sultan untok menyaksikan sama ada persiapan2 dan
peratoran2 bagi perarakan mayat itu di-jalankan sa-bagaimana yang telah
di-persetujukan oleh Polis. Sa-kumpulan besar orang ramai telah
berhimpun di-situ. Menurut lesen yang telah di-keluarkan, perarakan itu
patut-lah di-mulakan pada jam 9.30 pagi, tetapi tidak di-mulakan
sa-hingga 9.55 pagi.
“Perarakan
itu sa-patut-nya membelok ka-kiri dari Jalan Sultan menghala
ka-Bulatan Merdeka, tetapi sa-balek-nya telah membelok ka-kanan dan
berjalan melalui Jalan Petaling, mereka telah menyorak2 dan mengejek2
Polis Lalulintas yang sedang bertugas dengan tujuan hendak menaikkan
kemarahan mereka itu (Polis). Dengan berbelok ka-kanan, maka mereka
telah melanggar sharat yang pertama.
“Kemudian
perarakan itu telah berhenti di-penjuru Jalan Petaling dengan Jalan
Cecil. Sa-masa di-situ mereka telah mula beruchap kapada orang ramai,
menyanyi lagu2 dan menyebarkan risalah2 ajaran Mao, dan menampalkan
risalah2 di-tembok2 dan tiang2 rumah2 kedai. Salah satu daripada
risalah2 itu berbunyi “Rejim Tunku Abdul Rahman Kejam” ; dan yang satu
lagi berbunyi “Ajaran Mao sahaja yang boleh di-amalkan di-sini”.
Mereka
telah membawa sepandok2 gambar Mao dalam perarakan itu – saya tidak
dapat menyatakan berapa banyak-kah sepandok2 gambar itu.
“Saya
telah mendahului perarakan itu untok pergi ka-Foch Avenue dan telah
menyoal ketua mereka yang berada di-kepala perarakan (kerana mereka
telah mengikut jalan yang salah), “Kamu hendak ikut jalan mana?”
Jawab-nya “Aku ta’ tahu dan aku ta’ peduli.”
“Perarakan
itu telah berhenti tiap2 lima atau enam ela untok beruchap kapada
beribu2 orang yang membanjiri kedua2 belah jalan raya. Ketika itu saya
sedang berdiri di-hadapan Bangunan Malayan Banking dari mana saya dapat
menyaksikan orang ramai telah bertambah2 ramai. Bilangan-nya sudah pun
meningkat beribu2 orang, ia-itu berkali2 ganda melebehi dari sa-ribu
orang yang telah dipersetujukan. Mereka bertempek “Polis anjing buruan
Kerajaan.”
Dari laporan itu jelas-lah bahawa pehak
polis telah bersabar daripada melakukan tindakan ka-atas perarakan itu.
Sa-kali pun perarakan itu baru bergerak kira2 satu batu jauh-nya,
tetapi jelas-lah bahawa mereka yang mengambil bahagian dalam perarakan
itu bukan-lah sahaja terdiri daripada orang2 yang berkabong, sama ada
yang di-upah atau sa-balek-nya, bahkan juga penunjok2 perasaan yang
chuba hendak membangkitkan kekachauan, dan pemimpin2-nya tidak terdaya
hendak mengawal perarakan itu. Penunjuk2 perasaan itu tahu bahawa Polis
tidak akan menjalankan sa-barang tindakan kechuali ada sebab2 yang
besar untok mereka berbuat bagitu.
Perbuatan2
provokasi ada-lah sa-bahagian daripada ranchangan mereka, tetapi usaha2
dan chabaran2 mereka tidak berjaya menyentoh perasaan Polis.
Kenyataan
Enche’ Mansor bin Mohd. Noor yang telah di-chatitkan selanjut-nya
memberikan gambaran yang umum mengenai dengan perarakan itu, dan
menunjokkan kelakuan mereka yang telah mengambil bahagian, dan juga apa
yang telah berlaku di-beberapa tempat di-sapanjang2 jalan yang
di-lalui oleh perarakan itu. Kenyataan itu ada-lah sa-bagaimana berikut
:-
“Apakala perarakan itu tiba di-penghujong Jalan
Petaling berhadapan dengan Malayan Banking, mereka telah membelok
ka-kanan masok ka-Jalan Yap Ah Loy, ia-itu jalan yang tidak
di-benarkan, menghala ka-Jalan Klyne dan kemudian-nya berpusing masok
ka-Jalan Mountbatten – semua jalan2 ini ada-lah jalan yang di-tegah
masok.
“Kemudian mereka bergerak melalui Jalan
Mountbatten hingga mereka sampai di-penjuru Jalan Mountbatten dengan
Jalan Tuanku Abdul Rahman. Pada jam 11.25 pagi perarakan itu telah tiba
di-penjuru jalan ini. Kemudian mereka bergerak perlahan2 menuju
ka-Jalan Ipoh.
“Di-hadapan Bangunan MARA kira2 500
orang yang menaiki motosikal yang sedang menunggu di-situ telah
menyertai perarakan itu. Pada ketika itu saya telah menulis sa-berapa
banyak nombor2 motosikal itu. Mereka telah berhenti di-hadapan Bangunan
MARA untok sa-kali lagi membuat uchapan kepada orang ramai.
“Pada
jam 12.35 tengah hari mereka telah sampai di-hadapan Ibu Pejabat UMNO
dan sa-kali lagi membuat uchapan kepada orang ramai dan mengeluarkan
kata2 yang menghina.
“Pada jam 2.25 petang mereka telah sampai di-penjuru Jalan Jinjang dan Jalan Ipoh. Ketika itu hujan mulai turun.
“Pada
jam 3.00 petang mereka telah tiba di-Ibu Pejabat Parti Buroh Malaysia,
Kepong. Di-Kepong beribu2 orang telah berator di-kiri kanan jalan
untok memberi minuman kapada mereka. Mereka telah berhenti sa-lama 45
minit di-tempat itu untok menyusun sa-mula perarakan tersebut.
“Pada
jam 5.00 petang mereka telah sampai di-Balai Polis Kepong dan bergerak
sa-hela sambil memberi uchapan kapada orang ramai dengan menyebarkan
ajaran2 Mao dan memaki Polis. Perasaan orang ramai telah mula menjadi
hangat dan kami menjangka kekachauan akan meletus di-saat itu.
“Pada
jam 5.30 petang mereka telah tiba di-penjuru jalan kechil yang menuju
masok ka-tanah perkuboran dan terus berjalan hala ka-perkuboran.
“Sa-telah itu saya telah balek dan tiba untok membuat laporan di-Pusat Kawalan pada jam 6.00 petang.
“Kelakuan
orang2 yang mengikuti perarakan mayat itu amat-lah liar dan merupakan
perbuatan provokasi, dan sa-kira-nya pehak polis tidak dapat menahan
kesabaran maka tentu-lah kekachauan telah terchetus pada hari itu juga.
Bilangan mereka tidak kurang dari 10,000 orang. Beribu2 orang mungkin
terbunoh kira-nya kami tidak menahan sabar. Saya tidak shak lagi
ini-lah yang mungkin berlaku. Mereka memang telah mengatorkan
segala2-nya dengan rapi.
“Menurut Inspektor
Sakunathan, dia telah melihat senjata2 di-sembunyikan di-dalam keranda
dan mayat si-mati telah di-usong di-luar keranda itu dan di-balut
dengan kain. Ini telah di-sahkan oleh Insepktor itu.”
Sikap
polis yang bijak menghadapi keadaan yang sangat merbahaya yang telah
di-timbulkan oleh Komunis dan puak2 pelampau kiri untok mengambil
kesempatan dari perarakan mayat itu patut-lah di-beri kepujian yang
sa-tinggi2-nya. Memandang kapada peristiwa2 yang telah berlaku
kemudian-nya, dan kapada perasaan yang sa-makin bertambah hangat apakala
perarakan itu sa-makin dekat dengan tanah perkuboran, maka kenyataan
Enche’ Mansor itu boleh-lah di-katakan sederhana. Biar-lah saya
mengulangi-nya “beribu2 orang mungkin terbunoh kira-nya kami tidak
menahan sabar. Saya tidak shak lagi ini-lah yang mungkin terjadi.”
Dari
gambar2 yang telah di-ambil dan laporan2 yang telah di-buat, maka
nyata-lah tunjok perasaan yang besar ini telah di-ranchang dan di-ator
dengan rapi-nya. Nyata-lah bahawa dari sa’at Parti Buroh dengan sa-chara
kebetulan mendapat sa-orang “Pahlawan,” maka Komunis dan puak pelampau
kiri ini bertujuan hendak mengambil kesempatan itu untok kepentingan
mereka dengan sa-penoh-nya.
Mereka telah berjaya
mengambil aleh untok mengatorkan perarakan mayat itu. Mereka menuntut
supaya perarakan mayat itu di-adakan pada Hari Mengundi. Mereka
mengarahkan semua chawangan dan penyokong2 parti itu supaya bersiap
sedia untok menggunakan sa-penoh2-nya perarakan mayat itu bagi
kepentingan mereka. Dalam masa 5 hari mereka telah bersebok menyediakan
beribu2 poster dan chogan2 kata. Mereka telah mengatorkan satu
persatu-nya dengan tersusun rapi.
Tidak-lah mudah
hendak mengumpulkan 500 buah motosikal untok berada di-satu tempat dan
satu masa yang tertentu. Terkechuali untok perlumbaan motosikal, tetapi
mereka telah berada dan menunggu untok bersama2 menyertai di-dalam
perarakan itu di-pertengahan jalan. Kita tentu dapat menggambarkan
bagaimana bising bunyi injin motosikal yang beratus2 itu dapat
menaikkan lagi perasaan di-dalam suasana yang telah pun sedia hangat.
Ini
mungkin bukan satu kejadian yang berlaku sa-chara kebetulan, dan
bukan-nya perhimpunan yang terjadi dengan sendiri. Ia-nya telah di-ator
dan di-ranchangkan terlebeh dahulu. Perarakan motosikal ini-lah
satu2-nya peristiwa yang dapat menggambarkan bagaimana pehak Komunis
telah bersunggoh2 berusaha untuk menggunakan perarakan mayat itu
sa-bagai satu helah untok menimbulkan suasana yang tegang yang boleh
merebak sa-hingga tidak terkawal lagi. Dengan itu mereka mengharapkan
supaya Kota Kuala Lumpur dan seluroh Negara terperangkap di-dalam
keadaan huru-hara.
Mereka telah gagal dalam usaha
mereka yang besar ini. Sekarang soal-nya ia-lah sama ada mereka akan
menchuba sa-kali lagi. Ketika itu tidak-lah dapat hendak di-agakkan
sa-takat mana-kah kesan daripada peristiwa2 tegang di-sapanjang2 hari
Juma’at itu akan menchachatkan Pilehanraya pada keesokan hari-nya.
Satu
perkara yang nampak dengan jelas pada malam itu ia-lah sa-kali pun
ada-nya seruan supaya memulaukan Pilehanraya, tetapi Pilehanraya
pasti-lah berlangsong menurut seperti yang telah di-tetapkan.
Komunis
sa-kali lagi gagal kerana bilangan pengundi2 yang telah keluar untok
mengundi pada hari keesokan-nya ia-lah sa-habis2 ramai sa-kali dalam
sejarah Malaysia.