Total Pageviews

Thursday, September 25, 2014

RASIONAL DALAM MENGHADAPI MASALAH.


RASIONAL DALAM MENGHADAPI MASALAH.

Dalam kehidupan kita, bermacam jenis manusia dengan pelbagai karenah dan masalah sering kita temui. Ada yang menghadapi hidup ini bersendirian, walaupun banyak rintangan dan halangan di hadapan demi memenuhi cita-cita dengan apa cara sekalipun. Ada yang memerlukan sokongan dan bantuan orang lain dalam menentukan hidup dan masa depannya. Ada pula yang tidak sanggup menerima masalah yang menimpa dirinya, kerana ini akan membawa kepada tekanan perasaan, tekanan jiwa, keresahan, bermuram durja, murung dan sebagainya. Ini menunjukkan betapa rapuh daya tahan diri dalam menghadapi sesuatu yang melanda kehidupannya, sehingga ada yang sanggup mengambil jalan singkat dengan membunuh diri atau mencari kedamaian atau ketenangan dengan minuman keras dan ke tempat-tempat hiburan semata-mata untuk menghilangkan masalah, sedangkan jalan penyelesaian di atas hanyalah berupa sementara yang akan lebih mendatangkan implikasi besar ke atas diri sendiri.

Hidup adalah satu alat kesinambungan untuk menuju ke destinasi hakiki yang kita sendiri tidak tahu di mana penghujungnya. Bila ia dikatakan hidup, maka masalah sama ada kecil atau besar adalah intipati yang mesti ada di dalamnya. Manusia mana yang tidak pernah dilanda masalah? Manusia mana yang tidak pernah diuji oleh Allah swt? Manusia yang tidak ada masalah dalam hidupnya bukanlah dinamakan manusia, tetapi 'robot bernyawa' yang telah diprogramkan.

Tidak sempurna hidup manusia jika tidak pernah dilanda masalah, sebagaimana tidak sempurna iman seseorang itu jika tidak diuji oleh Allah swt. Sering kali kita rasa takut dan bimbang jika sesuatu masalah menimpa kita. Seolah-olah kita tidak nampak apakah kita nanti akan memperolehi jalan penyelesaian terhadap masalah tersebut. Kenapa kita mesti bersikap demikian? Tidak pernahkah kita terfikir bahawa hadirnya ujian dan masalah tersebut adalah sebagai tanda perhatian dan kasih sayang Allah swt, penghapus dosa-dosa kecil yang kita lakukan dan untuk peningkatan iman.

Oleh kerana itu, jika kita mengharap diri kita tidak ditimpa masalah bermakna kita berusaha untuk merenggangkan hubungan kita dengan Allah swt. Sebagaimana yang dikatakan oleh Prof. Dr. Hamka: "Manusia memang selalu lalai memperhitungkan bahawa dia bersalah. Setelah datang malapetaka secara tiba-tiba dia menjadi bingung lalu menyalahkan orang lain atau menyalahkan takdir Ilahi." Terpulanglah kepada kita untuk mencari jalan penyelesaian. Ingatlah bahawa setiap ujian yang diturunkan oleh Allah swt adalah ujian yang termampu diterima oleh kita. Allah swt tidak akan menguji manusia dengan ujian yang tidak mampu dipikul oleh manusia. Tetapi ramai di antara kita yang masih mengeluh, malah ada yang menyalahkan takdir terhadap apa yang telah menimpanya.

Dimanakah sifat syukur kita kepada Allah swt? Dimanakah rasionalnya kita sebagai hamba yang telah diberi akal untuk berfikir, diberi pelbagai ni'mat untuk menjalani hidup ini ; tetapi tidak mampu untuk menerima sedikit ujian Allah swt. Contoh yang paling mudah penulis catatkan disini, dimana kita semua mengalaminya ialah kegagalan dalam dunia percintaan. Akibat dari rasa kecewa itu, ada yang menghadapi tekanan jiwa, tekanan perasaan, semua yang dilakukan serba tidak kena, dunia ini rasa gelap, sempit dan tiada ruang untuk bernafas. Segala-galanya hancur berkecai, semuanya telah berakhir, keindahan yang dijanjikan bersama tiada memberi apa-apa makna, janji tinggal janji, segalanya manis dibibir tetapi pahitnya menembus ke hati sehingga ada yang sanggup membunuh diri dan sebagainya semata-mata kerana kecewa dengan cinta manusia.

Begitukah cara kita sebagai manusia yang berakal menghadapi masalah dan ujian Allah swt? Cinta manusia adalah cinta yang sementara, jika engkau dikecewakan pastinya hatimu hancur berkecai, terasa robekannya menusuk tajam. Kau rasa dipersia-siakan oleh kesetiaanmu sendiri. Tetapi sedarlah, masih ada yang sayang padamu. Sesungguhnya hati yang dihancurkan, jiwa yang dirobekkan, kesetiaan yang disia-siakan itu akan dicantum oleh Allah swt dengan cinta yang hakiki. Bersederhanalah dalam mencintai manusia. Cintailah mereka yang mencintai Allah swt dan RasulNya. Pasti cintamu tidak dipersiakan. Cuba kita renungi kata-kata dari Saidina Umar Al-Khattab r.a : "Apabila engkau susah dan bermasalah, halangan itu mesti ada dan engkau berdosa. Tetapi jika engkau sabar dan tabah, halangan itu pasti berhujung dan engkau mendapat pahala."
Masalah itu tidak semuanya seksaan dan yang pahit itu bukan semuanya racun. tetapi kadang kala kedua-duanya lebih berguna dan bermanfaat daripada kebahagiaan dan kesenangan yang berterusan. Dimanakah nilai hargai diri dan kehormatan maruah kita, jika kita menunjukkan sikap negatif dan pasif terhadap masalah yang menimpa. Tentunya masyarakat sekeliling kita akan memandang rendah kepada kita kerana kelemahan dan tiadanya motivasi diri untuk menghadapinya dengan tabah dan berani.

Orang yang bangun dari kegagalan masa lalu dan bangkit dari kekecewaan yang ditempuhi akan lebih bermotivasi tinggi untuk menuju kejayaan dan kecemerlangan dengan menjadikan kegagalan dan kekecewaan itu sebagai pendorong dan cabaran untuk membina hidup baru. Oleh itu, berusahalah untuk bersikap rasional dalam menghadapi dan menempuh hidup ini. Tanamkan nilai positif dan bersikap terbuka dalam diri kita ketika menghadapi sesuatu masalah. Jauhkan rasa emosional kerana perasaan ini tidak mendatangkan penyelesaian malah semakin mengusutkan keadaan.

Dari sini kita dapat pengajaran bahawa seseorang itu tidak dapat tidak, mesti akan mengalami kegagalan dan kekecewaan walaupun sekali dalam hidupnya. Dengan kegagalan dan kekecewaan itu, manusia akan dapat mengetahui di mana letak kelemahan dirinya selama ini.

Dukacita dan kecewa mempunyai pertalian yang amat rapat dengan perasaan dan naluri manusia. Kedua-duanya cepat sekali mempengaruhi dan menguasai pemikiran manusia. Ia boleh menggoncangkan jiwa, menjadikan hati resah gelisah dan melemahkan semangat. Keadaan ini menyebabkan tugas kita terbengkalai di pertengahan jalan dan hidup menjadi keruan.

Orang yang mengalami keadaan ini tidak dapat berfikir dengan rasional. Jiwanya rasa terganggu. Setiap yang dilakukan serba tak kena, sentiasa rasa hendak marah kepada orang lain, walaupun dalam hal yang remeh temeh. Tidak dapat bercakap dengan perasaan yang tenang dan tidak boleh diganggu situasinya.

Seseorang yang berdukacita dan kecewa sering memikirkan peristiwa-peristiwa masa lalu. Hal ini mengikatkan dirinya dengan kenangan-kenangan lampau, samada kenangan manis dan menggembirakan mahupun yang pahit dan memedihkan perasaan. Tetapi biasanya mereka akan lebih memikirkan peristiwa yang pahit dan menyedihkan dalam hidupnya. Ini menyebabkan mereka sentiasa berada dalam suasana sedih, bimbang dan hidup tanpa haluan. Mereka suka memikirkan perkara yang mungkin dan tidak mungkin berlaku di masa hadapan, memikirkan sesuatu yang tidak disukai dan tidak sanggup menerima perkara-perkara yang tidak dapat dielakkan seperti bencana alam, putus cinta, gagal dalam pelajaran, kehilangan orang yang disayangi dan sebagainya.

Penyakit ini akan menjadi lebih parah jika tidak diubati segera. Ia akan membahayakan kesihatan manusia dan memusnahkan kehidupan mereka.

Mengapa kita mesti mengalah dengan perasaan dukacita dan kecewa ini? Mengapa kita tidak mahu menerima kenyataan yang telah menimpa kita? Apakah dengan cara kita termenung mengenang nasib badan, menyalahkan takdir Allah, bermuram durja, menangis sepanjang hari dan sebagainya, akan dapat menyelesaikan masalah dan konflik yang berlaku serta bergolak dalam jiwa kita? Tentu tidak bukan!

Kita mesti menghadapi segala dugaan yang menimpa dengan fikiran yang waras dan rasional dan berkeyakinan pada diri sendiri, menanamkan sepenuh kepercayaan kepada Allah swt. Pegangan terhadap agama merupakan suatu keyakinan yang dapat menghalang seseorang itu dari melakukan hal-hal yang dilarang oleh agama seperti membunuh diri, minum arak dan berbagai perkara lagi yang dirasakan boleh memberi ketenangan pada dirinya.

"Kekurangan kepercayaan kepada diri sendiri seringkali menjadi penyebab kegagalan manusia" - POUW KIOE AN. Keyakinan pada diri sendiri merupakan kekuatan dalaman yang tidak boleh digugat oleh apa jua kuasa manusia sekiranya ada kesungguhan untuk mempertahankannya daripada diruntuhkan.

Menurut Profesor Dr. Hamka: "Ada beberapa pengalaman dalam hidup kita ini, mulanya kita sangka buruk, tetapi setelah sampai kepada hujungnya, barulah kita mengerti dan rasai bahawa yang buruk itu akan berakhir dengan kebaikan". Oleh itu cuba elakkan daripada memikirkan perkara yang merunsingkan diri kita. Lakukan aktiviti-aktiviti yang berfaedah yang boleh melupakan kita dari masalah dan tanamkan azam untuk berusaha mengatasi masalah tersebut.

Memang sukar bagi seseorang itu hendak melupakan kenangan pahit dan kegagalan yang pernah menimpa dirinya. Tetapi kalau perasaan itu dilawan dan dihadapi dengan kamahuan yang kuat, maka lambat laun kenangan dan kegagalan itu akan tersingkir dan sekurang-kurangnya tidak mempengaruhi fikiran dan perasaan. "Orang yang takut gagal adalah gagal sejati. Takut mati adalah mati sebelum mati. Hidup itu adalah gerak dan gerak itu ialah maju, berjuang dan naik dan jatuh dan naik lagi. Kita tidak tahu apa yang akan terjadi esok, sebab itu kita tidak ada masa dan tempoh yang harus terbuang begitu sahaja". Berdasarkan kepada ungkapan hikmah di atas, jelaslah bahawa pembaziran masa dan waktu dengan mengenangkan hal-hal yang tidak realistik dalam hidup untuk menjadi kenyataan, hanya merugikan diri kita sendiri. Sedangkan lebih banyak lagi perkara lain yang boleh kita lakukan untuk menuju kejayaan dan kebahagiaan hidup. Dengan tidak bersemangat dalam menjalani kehidupan maka tidak akan ada satu perkara besar yang dapat kita cipta dan capai sebagai satu penghormatan kepada diri kita sendiri.

Mengapa kita mesti mengeluh atau kecewa dan berdukacita dengan sesuatu yang menimpa kita? Bukankah semua ini merupakan ujian Allah swt.? Allah swt. ingin menguji sejauh mana kemampuan hambaNya menerima dugaan. Apakah kita masih tetap bersyukur dan bersabar atau menyalahi ketentuan Allah swt.

Bagi mereka yang berjiwa tenang, ia akan menerima sesuatu yang berlaku dan telah berlaku itu dengan senyum dan sabar. Ia akan berusaha untuk menghadapinya dan tidak mahu masalah tersebut mempengaruhi jiwa dan perasaannya. Ia sedar bahawa segala yang menimpanya adalah datang dari Allah swt. Ia tidak mahu menyusahkan orang lain untuk sama-sama menghadapi masalah sekiranya ia sendiri boleh menyelesaikannya.

Kehidupan adalah sesuatu yang perlu dihargai. Orang yang berhak menghargai kehidupan itu adalah diri sendiri. Maka berusahalah untuk menyelesaikan masalah diri dengan diri dan berdoalah kepada Allah swt. sebelum mendatangi orang lain untuk membantu menyelesaikannya. Kalau seseorang itu tidak dapat menemui ketenteraman dalam dirinya sendiri, sia-sia sahaja ia mencarinya di tempat orang lain yang mana mereka belum tentu dapat membantu.

Oleh yang demikian, perasaan dukacita dan kecewa terhadap apa yang telah berlaku dan dialami dapat diatasi dengan kekuatan dan keyakinan diri serta pegangan agama yang utuh. Sememangnya manusia tidak dapat mengelakkan diri daripada ujian dan dugaan yang menjadi kesinambungan bagi sebuah kehidupan. Maka, jangan memikirkan masa lampau dan masa akan datang tetapi ragut dan tawanlah masa sekarang serta ambillah faedah daripadanya agar setiap detik kehidupan kita dapat dimanfaatkan dengan sebaiknya.

Sekian.

No comments:

Post a Comment