SALAH
satu perkara menarik yang menjadi perbincangan dalam arena politik
negara ialah mengenai kedudukan Pas dalam pakatan pembangkang yang turut
disertai oleh Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP.
Pergilah
ke mana sahaja dan berbuallah dengan sesiapa sahaja, topik mengenai
kedudukan Pas dalam pakatan pembangkang sentiasa menjadi perhatian.
Ditubuhkan
oleh sekumpulan ulama melalui perpecahan yang berlaku di dalam UMNO
pada tahun 1951, perjuangan politik Pas kini semakin terarah daripada
sebuah parti yang mampu berdikari kepada sebuah parti yang dilihat
menjadi 'pak turut' dan sekadar 'kuda tunggangan' dalam pakatan
pembangkang.
Rekod
cemerlang Pas kerana memerintah Kelantan sejak tahun 1990 semakin pudar
akibat perkongsian impian politik bersama PKR dan DAP untuk menawan
Putrajaya, sekali gus menumbangkan kerajaan Barisan Nasional (BN).
Walaupun
suatu ketika Pas dilihat sebuah parti yang jauh lebih berwibawa
berbanding PKR dan DAP namun Pas tidak mampu bertahan untuk menjadi
sebuah parti yang terus berjuang sendirian bagi mencapai cita-cita untuk
menubuhkan sebuah negara Islam.
Perkongsian
impian dengan kedua-dua parti itu jelas menunjukkan Pas terpaksa
mengorbankan banyak kekuatan dan jati diri semata-mata untuk memenuhi
rentak politik PKR dan DAP. Malahan golongan ulama yang menjadi tonggak
utama di dalam Pas kini dikatakan semakin terhakis suara mereka.
Ulama-ulama
Pas majoritinya berada di dalam Dewan Ulama dan mereka seolah-olah
tidak mempunyai kuasa politik bagi menentukan hala tuju parti itu biar
pun hakikatnya, Pas 'dilahirkan', 'dibesarkan' dan dididik oleh golongan
berkenaan.
Kesudahannya,
akibat semakin kurangnya kuasa politik golongan ulama di dalam Pas,
maka arah tuju Pas juga semakin tidak jelas, sebaliknya dari semasa ke
semasa parti itu terus bercelaru dalam usahanya mencari kuasa politik.
Oleh
itu apabila pemimpin-pemimpin Pas membuat kenyataan yang dilihat cuba
menunjukkan mereka parti kuat dalam pakatan pembangkang ia dilihat
hanyalah sekadar satu mimpi yang tidak mungkin menjadi kenyataan.
Berikut penulis paparkan beberapa mimpi politik Pas berdasarkan perjalanan parti itu sejak mereka berkawan dengan PKR dan DAP.
Menjadi
parti dominan - Pas masih lagi bermimpi untuk menjadi dominan dalam
pakatan pembangkang biar pun hakikatnya PKR dan DAP sudah pasti tidak
akan mengizinkan perkara itu berlaku. Sebab itulah ramai pemerhati
politik melihat impian Pas untuk bertanding 80 kerusi hanyalah satu
impian yang tidak akan kesampaian.
Ini
memandangkan PKR biar pun sedang menghadapi pelbagai kemelut dalaman
dan luaran serta semakin terhakis sokongannya di kalangan rakyat, namun
parti itu tetapi mahu menjadi pemimpin utama dalam pakatan pembangkang.
Impian
PKR sudah tentulah bukan sesuatu yang mustahil untuk dilaksanakan
kerana parti itu mempunyai hubungan rapat dengan DAP dan ia jauh lebih
erat berbanding hubungan PKR dengan Pas.
Sebab
itulah kita menyaksikan bagaimana dalam apa juga isu, pemimpin-pemimpin
PKR dikatakan lebih menyebelahi DAP biar pun ia boleh menyinggung
perasaan Pas.
Dalam
pilihan raya umum akan datang PKR dan DAP sudah tentu akan memastikan
Pas hanya bertanding sekitar 66 hingga 67 kerusi sahaja seperti mana
pilihan raya umum lalu, manakala PKR dan DAP akan menentukan siapa
antara mereka akan bertanding lebih banyak kerusi.
Apa
yang menyedihkan, apabila keputusan sudah dibuat, Pas akan 'diarahkan'
oleh sekutunya untuk menyediakan jentera pilihan raya untuk bertempur.
Ahli-ahli
Pas akan dikerah memenuhi majlis-majlis ceramah PKR dan DAP,
menggantung bendera kedua-dua parti itu dan bersedia membuat kenyataan
bagi membela pemimpin-pemimpin pembangkang. Itu sahaja tugas Pas!
Malahan mereka juga akan bersedia bertakbir tanpa mengira siapa pun yang berucap.
l
Impian mewujudkan negara Islam - Pas masih lagi bermimpi untuk
memperjuangkan negara Islam sedangkan ia sudah lama berkubur berikutan
keputusan parti itu menegakkan negara berkebajikan. Namun begitu oleh
kerana menyedari sokongan orang Melayu kepada mereka semakin merudum
maka mahu tidak mahu Pas terpaksa mendendangkan semula soal
memperjuangkan negara Islam.
Kita
percaya dalam soal ini seperti mana kata penganalisis politik, Ahmad
Masrizal Muhammad, semua itu hanyalah sandiwara dalam usaha Pas menarik
sokongan orang Melayu.
Semua
orang tahu Pas sudah tidak lagi sinonim dengan perjuangan Islam selagi
mereka berada dalam pakatan pembangkang. PKR dan DAP sudah pasti tidak
akan membenarkan Pas meneruskan perjuangan Islamnya.
Laluan
Pas dalam soal ini hanyalah sekadar retorik politik kerana di dalam
parti itu sendiri terdapat penentangan yang cukup ketara. dalam soal
berkenaan. Golongan ulama masih berhasrat untuk meneruskan perjuangan
Islam yang dianggap perjuangan asal Pas. Tetapi dalam masa yang sama, di
dalam Pas juga terdapat kelompok pemimpin-pemimpin tertentu yang begitu
mahu menjaga hati dalam soal hubungan dengan PKR dan DAP. Oleh itu
dalam keadaan mereka begitu ghairah untuk memburu kuasa bersama
kedua-dua parti berkenaan, ada di kalangan pemimpin tersebut yang tidak
mahu ada perkara berbangkit yang mampu menjejaskan impian berkenaan.
l
Pemimpin Pas jadi Perdana Menteri - Inilah mimpi yang paling
menyeronokkan bagi pengikut-pengikut Pas kerana mereka merasakan
pemimpin-pemimpin utama mereka layak tetapi hakikatnya pemimpin mereka
sendiri tiada keyakinan diri. Sebab itulah mereka membuat
kenyataan-kenyataan yang menyatakan jika pakatan pembangkang menang
dalam pilihan raya umum nanti yang akan menjadi Perdana Menteri ialah
Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Pengikut-pengikut
Pas harus memahami bahawa kedudukan pemimpin mereka di dalam pakatan
pembangkang sekadar penyokong setia dan pengikut sahaja,
pemimpin-pemimpin PKR dan DAP mendominasi segala agenda politik pakatan
tersebut.
Apatah
lagi, berbanding Pas, pemimpin-pemimpin PKR lebih mendapat kepercayaan
pemimpin DAP sebab itulah biar pun PKR mempunyai kerusi yang kurang
dalam Parlimen berbanding Pas, namun DAP tetap memberi laluan kepada
Anwar untuk menjadi ketua pembangkang.
Pemimpin-pemimpin
Pas hanya digunakan untuk membuat kenyataan-kenyataan menyokong dan
membela pemimpin PKR dan DAP. Oleh itu tidak usahlah pengikut-pengikut
Pas bermimpi pemimpin mereka akan menjadi pemimpin utama dalam pakatan
pembangkang.
l
Berhasrat menggantikan UMNO - Inilah mimpi paling mengasyikkan bagi Pas
sehingga mereka sanggup mencetak kemeja t yang tertulis perkataan Pas
ganti UMNO.
Tetapi
semua orang tahu sejauh manakah kemampuan Pas untuk berbuat demikian.
Pas bukan seperti UMNO kerana dalam pembangkang, Pas diibarat seperti
melukut di tepi gantang demi mencari kuasa.
Ini
berbeza dengan UMNO yang menjadi tonggak kekuatan BN tetapi sentiasa
menghormati kesepakatan yang dicapai bersama komponen parti itu sejak
merdeka.UMNO tidak pernah mahu menjadi 'abang besar' di dalam BN tetapi
dalam pakatan pembangkang semua orang tahu siapa 'abang besar' yang Pas
dilihat perlu akur.
Kesimpulannya,
Pas boleh terus bermimpi dan bermimpi untuk menjadi parti utama dalam
pakatan pembangkang tetapi ia tidak akan menjadi kenyataan.
Bak
kata Ahmad Masrizal, ''Pas dalam pakatan pembangkang sebenarnya adalah
tidak ke mana. Tiada kekuatan suara, fikrah apatah lagi kekuatan politik
untuk menentukan hala tuju pakatan itu. Itulah jatuh nasib Pas dalam
Pakatan Pembangkang, tampak hebat berceramah siang dan malam tetapi
ironisnya hanya setakat melukut dalam lingkaran pakatan Pembangkang.'' -
Utusan Malaysia